Pengalaman Photoshoot dan Temu ramah di Majalah Keluarga (Mei 2016)

Teks: Hifzaila Hafni

Alhamdulillah, akhirnya Allah beri peluang muncul di majalah. Itu adalah antara salah satu impian zaman silam. Rupanya Allah perkenan!

Saya terlibat sebagai salah seorang daripada 30 orang ibu muda dengan pelbagai bidang kerja dan latar belakang; yang berkongsi pengalaman bersama ibu masing-masing dalam Edisi Hari Ibu untuk majalah Keluarga keluaran bulan Mei 2016. Memang sangat teruja dan saya pada mulanya juga tidak percaya tapi itulah dikatakan rezeki.

Untuk membaca kisah saya, dapatkan majalah Keluarga Mei 2016

Gambar muka depan majalah - Datuk Ziela Jalil sekeluarga


Bagaimana saya boleh terpilih?


Mulanya melintas status Facebook Puan Masayu Ahmad (Pengasas Akademi Bekerja Di Rumah) yang bertanyakan jika ada ibu-ibu yang bekerja di rumah yang terlibat dalam bisnes servis atau perkhidmatan. Dengan sepantas mungkin, saya pm beliau dan memaklumkan yang saya menawarkan perkhidmatan menyunting (editing) dan menterjemah. Lantas beliau minta saya hubungi Puan Netty Ah Hiyer (Timbalan Editor Majalah Mingguan Wanita) seterusnya Puan Netty menghubungkan saya dengan wartawan majalah Keluarga, Cik Khairun Nisa Ishak.

Cik Nisa seterusnya menghubungi saya tidak lama selepas itu (setengah jam selepas Puan Netty menghubungi beliau) dan bertanyakan jika saya berkelapangan untuk datang ke studio Karangkraf untuk sesi photoshoot dan temu ramah.

Wah! Saya memang terkejut waktu itu kerana semuanya berlaku sangat pantas. Selepas bertanyakan suami, beliau bersetuju dan terpaksa mengambil cuti untuk hantar isteri photoshoot :)

Sebenarnya, satu lagi sebab saya dipilih adalah kerana tempat tinggal saya yang berdekatan dengan Karangkraf (20 minit sahaja dari rumah). Jadi tiada masalah untuk saya datang ke studio. Dan saya masih dalam kategori ibu muda (bawah 40 tahun). Muda lagi tau. Untuk edisi itu, akan diketengahkan Inspirasi Ibu Muda. Jadi kena la cari yang muda-muda. Hehe.

Pengalaman Photoshoot Studio dan Temu ramah

Sebelum ini, saya biasa buat photoshoot untuk simpanan peribadi sahaja. Jadi saya kira pengalaman lepas boleh juga digunakan untuk photoshoot kali ini. Nak posing di studio, depan jurukamera profesional oleh model amatur ini memang boleh mengundang gugup dan kekok. Tapi, saya seronok sebab dapat timba pengalaman baru.

Mula sekali sampai ke Karangkraf, saya berjumpa Cik Nisa dan saya dibawa ke bilik mekap. Ramai yang tengah dimekap waktu itu, jadi kami teruskan dengan temu ramah dahulu. Seterusnya bila slot dah kosong, saya dimekap oleh Puan Mazmiera (Kak Mas). Mekap beliau sangat cantik! Tengoklah muka saya yang berubah selepas dimekap. Kak Mas rupanya dah hampir 20 tahun jadi jurumekap, patutlah dia mekapkan saya santai-santai saja. Tapi memang saya suka cara dia mekapkan saya. Kak Mas juga sangat peramah. Proses mekap mengambil masa hampir 45 minit (memang lama).

Kemudian, terus ke studio untuk sesi photoshoot. Haa waktu yang ditunggu-tunggu kan. Dengan latar belakang serba putih, dengan sebuah laptop sebagai prop, haa mulalah kita senyum-senyum di depan kamera. Ikut saja arahan pengarah seni dan jurukamera. Kekok juga tapi yang penting YAKIN! Selepas shoot dalam 10 keping (atau kurang atau lebih saya pun tak pasti) yang hanya mengambil masa lebih kurang 15 minit - semuanya dah selesai! Sekejap saja :)

Dan disebabkan Cik Nisa ada urusan penting lain selepas itu, jadi sesi temu ramah kami akan disambung melalui telefon sahaja. Dan saya pun dah boleh balik. Semua proses berjalan dalam masa 2 jam dan selama itulah suami dan anak-anak saya setia menunggu dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di hadapan Karangkraf. Masa tu, parkir dalam memang penuh sebab keesokannya akan ada Karnival Karangkraf.

Mulanya nak tinggalkan anak yang masih menyusu tu risau juga saya dibuatnya. Tapi alhamdulillah proses temu ramah tidak terlalu lama dan anak-anak pun behave kena tinggal dengan abah mereka. Sangat memberi kerjasama :)

Begitulah cerita bagaimana saya boleh muncul di majalah. Bukan sebagai model muslimah, ya! Tapi kalau ada peluang, boleh juga cuba ;)

Misi seterusnya, saya ingin 'muncul'kan hasil penulisan pula di majalah. Insha Allah.

=====================================================================

Berada dalam jemaah Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) sebenarnya memberi banyak peluang saya mengenali dan berkenalan dengan mereka yang terlibat secara langsung dalam industri penulisan dan penerbitan majalah. Pengasas Akademi sendiri, Puan Masayu merupakan bekas wartawan Karangkraf. Jadi, rezeki saya dapat muncul di majalah atas sebab ukhuwah dalam Akademi ini juga.

Syukur kepada Allah kerana dipertemukan dengan Puan Zaila Mohamad, iaitu Guru Online ABDR yang mengajar asas blog kepada saya, sekaligus memberi peluang saya mengenali semua ahli yang hebat dalam Akademi.


Semoga menjadi inspirasi!

Salam sayang,
Hifzaila
Editor di Rumah



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...