Modul 3 HEARTS: Kursus Terjemahan Am (Intensif) ITBM

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Modul 3 program HEARTS sudah bermula awal minggu ini. Hari ini masuk hari kelima rutin saya berubah menjadi 'ibu bekerjaya'. Maklumlah, keluar rumah seawal 6.30 pagi dan pulang lebih kurang 7.00 malam.

Kursus yang saya pilih dalam HEARTS ialah Kursus Terjemahan Am (Intensif) yang dikendalikan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Kelas dijalankan di Wisma ITBM sendiri di Wangsa Maju dan berlangsung selama 10 hari (2 × Isnin-Jumaat) bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Mujur kawasan rumah saya hampir dengan stesen LRT, jadi setiap hari saya berulang-alik dengan tren untuk ke kelas.

Mengimbau kenangan sungguh setelah sekian lama tak bergerak menggunakan perkhidmatan awam yang satu ni. Dulu, boleh dikatakan saya ini pengguna tegar tren juga. Cuma sejak ada anak kecil, saya banyak bergerak dengan kereta.

Syukur sangat sebab stesen LRT dekat dengan rumah, dan dekat juga dengan ITBM. Pengangkutan semuanya mudah. Cuma ambil masa yang agak lama. Perjalanan sehala lebih kurang 1 jam 20 minit.

Kelas yang saya hadiri memang agak packed. Setiap hari banyak sangat input dan ilmu baru yang kami dapat.

Untuk minggu pertama ini, kami didedahkan dengan asas terjemahan, tatabahasa, terjemahan teks komunikasi massa dan umum.

Dalam kelas teori asas terjemahan yang dikendalikan oleh Puan Nor Idatul, kami belajar cara terjemahan yang betul, bagaimana memanfaatkan kamus bercetak dan dalam talian, serta prosedur dan teknik terjemahan yang diguna pakai.

Nota agak tebal. Sebahagiannya perlu dihafal sebab akan keluar dalam peperiksaan.

Ya. Kami ada peperiksaan pada hari terakhir. Huhu.

Dalam kelas tatabahasa pula, Encik Qamarul Akmal (Qiu Syah) yang kendalikan.

Berasap kepala bila dapat tahu cara menggunakan tatabahasa BM dengan betul. Ha ha!

Rupanya kita banyak buat salah dalam menggunakan sesuatu perkataan. Atau kadang-kadang salah faham, salah konsep. Tepu rasa bila kelas ni selesai. Tapi sangat seronok. Kelas yang kami paling enjoy setakat ini.

Khamis, kami belajar terjemahan teks komunikasi massa. Penatar (pengajar/pembimbing) kelas ini adalah Puan Sharifah Nur Anthasha. Dalam kelas belajar terjemah artikel untuk siaran akhbar dan siaran iklan.

Untungnya dapat belajar copywriting juga sedikit sebanyak.

Dan cara terjemah teks komunikasi massa sangat berbeza berbanding bidang lain. Patutlah copywriter adakalanya kenakan bayaran tinggi. Bukan senang tau nak buat ayat iklan yang santai tapi persuasif.

Hari ini kelas terjemahan teks umum. Saya cerita minggu depan apa yang kami belajar ya.

Untuk makluman, makanan disediakan sepanjang kursus. Jadi tak perlu fikir nak makan apa, di mana setiap hari. Yuran yang dibayar adalah termasuk makanan sekali.

ITBM sediakan kudapan (minum pagi), makan tengah hari, cicipan (minum petang). Makanan dan minumannya, masya-Allah sedap belaka.

Mahu solat juga mudah kerana surau berada sama tingkat dengan bilik kelas.

Kami ada lagi lima hari untuk berjuang dan tamatkan Modul 3 (Bahagian 1) ini.  Semoga kami semua diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan pembelajaran dan menjawab peperiksaan nanti.