Kursus Terjemahan Am ITBM Bahagian 2

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Alhamdulillah, selesai Kursus Terjemahan.

Lega rasanya dapat kembali kepada rutin asal menjadi suri rumah. Tiada lagi keributan awal pagi, tiada lagi kekalutan mengejar tren sehingga penghujung April apabila kursus seterusnya bermula.

Pada minggu kedua kursus terjemahan, kami didedahkan dengan penterjemahan teks undang-undang, sastera kreatif, sains sosial serta sains dan teknologi.

Kelas terjemahan teks undang-undang ditatar oleh Encik Yusof Cha yang merupakan seorang peguam yang sebelum itu seorang akauntan. Beliau berpengalaman luas dalam bidang perundangan dan mahir dalam bidang bahasa juga. Kami didedahkan dengan asas bahasa serta teknik menterjemah teks undang-undang yang betul.

Kelas sastera kreatif ditatar oleh Encik Amir Muslim. Teks sastera kreatif ni termasuklah cerpen, novel, puisi. Untuk menterjemah teks sastera, seorang penterjemah tu kena bijak berimaginasi dan menghayati keseluruhan teks atau cerita. Kena padankan emosi yang hadir dalam teks sumber ke teks terjemahan. Kosa kata kena luas. Namun penggunaan dan pemilihan perkataan agak bebas dan terbuka, asalkan maksud asal kekal.

Untuk kelas sains sosial, Dr Syed Nurulakla Syed Abdullah yang mengajar. Beliau ialah pensyarah UKM, yang telah mengajar secara freelance di ITBM agak lama juga. Kelas ini agak menarik kerana penyampaian Dr Syed yang santai dan mesra. Beliau juga banyak berkongsi pengalaman sebagai penterjemah selama hampir 28 tahun.

Kelas terakhir ialah kelas sains dan teknologi. Kelas yang saya tunggu-tunggu. Teruja ingin tahu lebih lanjut tentang terjemahan sains. Kelas ditatar oleh Puan Nurul Hidayah. Selepas kelas baharulah saya lebih faham cara menterjemah teks sains dengan lebih baik. Dapat baiki penterjemahan saya selama ini.

Seterusnya selesai semua kelas, pada hari terakhir kami semua menduduki peperiksaan.

Peperiksaan melibatkan teori dan amali. Soalan teori berkisar asas terjemahan dan perlu hafal nota penting. Soalan amali, perlu menterjemah 6 soalan. Menulislah kami selama 5 jam!

Alhamdulillah selesai kursus pertama. Kursus kedua dan ketiga menyusul beberapa minggu lagi.

Doakan saya mendapat keputusan yang cemerlang ya!