Suri Rumah Bijak Merancang

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Semalam terbaca satu status Tuan Khairul Hakimin tentang seorang suri rumah yang bijak merancang jadual hariannya.

Di sebalik jualan bernilai lima angka sebulan, suri rumah tersebut rupanya amat bijak menyusun jadualnya setiap hari. Tugasan rumah dan tanggungjawab pada keluarga diutamakan dan urusan bisnes dijalankan dengan perancangan yang teliti.

Jadi, semua urusan dapat dikendalikan dengan baik mengikut jadual.

Biasanya rutin harian lama-lama akan jadi tabiat. Kita akan lakukan tanpa perlu berfikir panjang atau mengambil masa yang lama.

Antara rutin yang dikongsikan Tuan KHM tentang puan suri rumah yang mengusahakan bisnes bekas makanan ini adalah:

1. Selesaikan urusan terhadap suami dan anak-anak dahulu pada waktu pagi.

2. Solat dhuha

3. Uruskan anak kecil dan urusan bisnes

4. Masak makanan tengah hari

5. Berkongsi status media sosial mengikut jadual (pagi, petang, malam)

Menariknya, puan ini mempunyai bank penulisan sendiri yang mengumpulkan semua status yang akan dimuat naik ke FB.

Jadi setiap hari puan ini takkan terputus idea untuk berkongsi kerana statusnya telah disusun dan hanya perlu di-post.

Kagum saya dengan suri rumah begini. Saya masih lagi perlu latih diri supaya lebih berdisiplin dan siapkan kerja dalam waktu yang singkat.

Semoga saya berjaya!